Tuesday, January 19, 2010

KERTAS KERJA PENUBUHAN MADRASAH TAHFIZ AL–QURAN & PENGAJIAN KITAB THURAS

1.0 PENGENALAN

Cadangan Pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Quran Dan Pengajian Kitab Thuras (MTAPKT) telah diasaskan oleh Ustaz Mohd Rozali Bin Jamil Al-Hafiz. Beliau merupakan bekas guru di sekolah Menengah Agama Arab Khairiah, Segamat, Johor dan kini merupakan seorang pendakwah bebas. Berbekalkan peninggalan tanah pusaka Almarhum ayahdanya Jamil Bin Ali seluas 8 ekar di Kg. Melayu Raya, Segamat, Johor, beliau telah mengambil keputusan mewakafkan sebahagian tanah pusaka tersebut untuk pembinaan MTAPKT ini.

MTAPKT ini dibina berasaskan kepada kewajipan menuntut ilmu, dimana ilmu adalah penting agar setiap ibadah yang dilakukan memenuhi matlamat yang sempurna.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."



InsyAllah, pembinaan MTAPKT ini akan menjadi sebuah lagi Institusi yang berasaskan kebajikan dengan pemilihan atau penjurusan ke arah seperti di bawah:

* Bidang hafazal al-Quran untuk kanak kanak bermula dari umur 13 tahun.
* Pengajian kitab turas (kuning atau lama) untuk masyarakat setempat dan luar kawasan.

Dalam dunia yang dilanda arus globilasasi atau tanpa sempadan ini pendidikan Al-Quran dan pembelajaran kitab-kitab bermatlamat untuk membina masyarakat yang faham tentang Islam yang sebenar demi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab atas agamanya (menganut aqidah Islam yang sebenar), bertolak ansur, berkasih sayang dan berfikiran terbuka serta menjadi pemangkin ke atas minda fotograpi sekaligus memenuhi apa yang dituntut oleh Allah S.W.T

Pembinaan Madrasah ini bergantung penuh kepada sumbangan serta infak dari individu atau organisasi yang yang mahu memberi sumbangan selaras dengan ayat ayat al-quran dan hadis hadis Nabi :

“ Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan (diseksa) apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. (Ali-Imraan : 180)

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. (Ali-Imraan : 92)

Kekurangan Madrasah Tahfiz Al-Quran di negeri Johor adalah merupakan salah satu faktor mengapa perlunya pembinaan MTAPT ini. Kebanyakan ibubapa yang menetap di negeri Johor terpaksa menghantar anak-anak mereka ke negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu untuk mengikuti pengajian Tahfiz Al-Quran. Kesedaran kepada kepentingan mewujudkan MTAPT ini merupakan salah satu tuntutan agama kerana MTAPT ini merupakan yang pertama di Daerah Segamat dan menjadi satu keperluan kepada masyarakat di segamat khasnya dan negeri Johor amnya.

2.0 JUSTIFIKASI CADANGAN / OBJEKTIF PENUBUHAN

Penubuhan MTAPKT ini diwujudkan dengan matlamat di atas kesedaran bahawa kurangnya golongan para hafiz di negeri ini khasnya dan seluruh negara amnya, di samping berperanan menyampaikan ilmu-ilmu agama dan dakwah Islamiah kepada masyarakat melalui pengajian kitab thuras. Kewujudan MTAPT ini bertepatan dengan masanya kerana terdapat hanya beberapa buah Madrasah tahfiz sahaja di seluruh negara dengan bilangan yang terhad.

Objektif penubuhan adalah seperti berikut:-

* Melahirkan generasi yang mencintai kalam ilahi, menghafaz, memahami dan mengamalkannya serta menyebarkannya kepada orang lain.

* Melahirkan generasi yang mengamalkan sunnah Nabi dan beramal dengannya.

* Melahirkan sebuah keluarga muslim yang sebenar, di mana anak–anak kasih dan hormatkan kedua ibu bapa.

* Melahirkan generasi Islam yang berilmu, beriman, beramal, berpenghayatan dan berjiwa berakhlak mulia.

* Melahirkan insan yang kamil lagi muktakammil di bawah naungan Al–Quran dan Al – Sunnah.

* Melahirkan para Hufaz (Hafiz dan Hafizah) dan Ulama’ yang bertaqwa, berketerampilan, diiktiraf selaras dengan keperluan ummah dan negara.

* Mewujukkan pemeliharaan Al-Quran sebagai aset umat untuk generasi akan datang dan menjadikan isikandung Al-Quran pada jasad individu muslim sebagai Al-Quran bergerak untuk dijadikan sebagai panduan secara praktikal pada seluruh alam.


3.0 TUJUAN KERTAS KERJA

Tujuan kertas kerja ini dirangka adalah untuk mendapatkan dana samada dari individu, syarikat-syarikat swasta atau badan–badan tertentu yang perihatin bagi membolehkan MTAPT dibina dan beroperasi sebagaimana yang dirancang.


4.0 LATARBELAKANG TAPAK

3.1 Lokasi

Lokasi cadangan pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Quran Dan Pengajian Kitab Turas (MTAPT) adalah beralamat di No. 71, Lorong 4, Kg. Melayu Raya, Segamat, Johor .

3.2 Tahap kemudahcapaian atau Akses

Lokasi MTAPT dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 1 dan akan melalui Jalan Kg. Genuang Baru dan seterusnya Jalan Kg. Melayu Raya. Semua kenderaan darat boleh melalui jalan tersebut untuk tiba ke lokasi MTAPKT.

3.3 Halangan ke Tapak

Tiada halangan untuk sampai ke tapak MTAPT kerana tapak telah dibersihkan dan kerja-kerja pemotongan serta penambakan tanah telah dibuat.

4.0 CADANGAN PEMBANGUNAN

Dalam rangka untuk melahirkan para huffaz sepertimana yang dihajati, Cadangan Pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Quran Dan Pengajian Kitab Thuras (MTAPKT) ini terdiri dari sebuah bangunan utama 2 tingkat dan juga dewan serbaguna. Pelan bagi bangunan utama MTAPT adalah seperti di Lampiran 1, manakala pelan untuk dewan serbanguna masih dalam proses penyiapan.

Pembinaan MTAPT ini telah pun bermula pada October 2009 dengan kerja-kerja pembersihan tapak dan kerja kerja struktur asas (Bangunan Utama) pada 2hb Jan 2010 sebagaimana gambar di bawah :-




Gambar 1 : Tapak pembinaan Bangunan Utama


>


Gambar 2 : Kerja-kerja penggalian untuk asas pad (Bangunan Utama)




Gambar 3 : Kerja-kerja besi tetulang untuk asas pad (Bangunan Utama)




Gambar 3 : Tapak Dewan Serbaguna


5.0 ANGGARAN KOS

Keseluruhan kos pembinaan bangunan ini ditanggung oleh individu prihatin, syarikat atau badan-badan tertentu yang berkongsi hasrat untuk melihat tertubuhnya sebuah MTAPKT di Melayu Raya Segamat.

Berbekalkan sumbangan yang telah diterima, dana yang telah terkumpul setakat ini adalah dalam lingkungan RM 120,000.00. Alhamdullilah, sumbangan dari penderma budiman masih berterusan. Memandangkan Dana yang terkumpul sehingga sekarang, masih belum mencukupi, disenaraikan perancangan terperinci perbelanjaan pembinaan MTAPKT untuk rujukan para dermawan. Sumbangan tidak terhad dalam bentuk wang ringgit sahaja, apa juga bentuk bahan binaan dan yang berkaitan juga boleh disalurkan. Dokongan dalam memberi pandangan serta sokongan dalam membantu memungut derma juga amat dialu-alukan.

Pembinaan madrasah ini terbahagi kepada sepuluh fasa dimana anggaran kos keseluruhan pembinaan √°dalah RM 1,136,030.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta Satu Ratus Tiga Puluh Enam Ribu Tiga Puluh Sahaja)



ANGGARAN KOS SERTA FASA PEMBINAAN MADRASAH TAHFIZ AL-QURAN dan PENGAJIAN KITAB THURAS



PERINCIAN ANGGARAN KOS SERTA FASA PEMBINAAN MADRASAH TAHFIZ AL-QURAN dan PENGAJIAN KITAB THURAS





6.0 CADANGAN PELAKSANAAN

Untuk merealisasikan cita-cita ini, MTAPT telah mewujudkan satu Ahli Jawatankuasa Pelaksana (Sukarelawan).


6.1 Struktur Organisasi Ahli Jawatankuasa Pelaksana




6.2 Skop Kerja

Skop kerja untuk Ahli Jawatankuasa Pelaksana adalah seperti berikut :-

* Mencari penderma serta mengumpul dana bagi tujuan pembinaan bangunan MTAPKT.

* Bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan bangunan.

* Menyediakan sukatan pelajaran yang sesuai demi untuk melahirkan para huffaz yang berkualiti.

* Mendapatkan para ustaz yang berketerampilan yang akan menjadi acuan kepada para huffaz yang dihasilkan.

* Mempromosi MTAPKT bagi tujuan mendapatkan pelajar dan memperoleh dana yang berterusan.

* Mengembangkan dan memajukan MTAPKT dari semasa ke semasa dari segi prasarana dan juga khusus – khusus yang ditawarkan.

* Menyediakan tadbir urus yang cemerlang dari segi pengurusan kewangan , tenaga pengajar , murid dan bangunan.


7. Penutup / Kesimpulan

Penubuhan MTAPKT ini merupakan satu tuntutan agama dan ianya amat penting kepada masyarakat Islam di Segamat khususnya dan Johor amnya dalam rangka untuk memastikan agar Islam di Malaysia dapat disebarkan dan difahami dengan betul justeru memastikan agar ianya terus bertapak di bumi Allah SWT.

Memandangkan kos untuk menyiapkan bangunan MTAPKT ini masih belum mencukupi, pihak kami mengharapkan sumbangan ikhlas dari semua pihak. Semoga dengan terhasilnya kertas kerja ini, individu atau pihak-pihak tertentu bermurah hati untuk menyumbangkan dana dari segi kewangan, bahan binaan mahupun tenaga kerja agar projek ini dapat dilaksanakan dan beroperasi sebagaimana yang dirancang. Usaha yang gigih diperlukan untuk mengembeling kerjasama di kalangan warga komuniti masyarakat agar projek ini akan berkekalan dan mampu mencapai matlamatnya amin.... Kepada setiap Individu dan Organisasi yang telah dan akan menyumbangkan dermanya sehinggalah terdirinya Madrasah ini dan pembelajaran dapat dimulakan semoga Allah memberikan naungan RahmatNya, amin…..




ALAMAT SURAT – MENYURAT :

No. 71, Jalan 4,
Kampung Melayu
85000 Segamat
Johor Darul Takzim


Hulurkan Derma , Zakat dan Sedekah

Atas Nama : -

Madrasah Tahfiz Al – Quran & Pengajian Kitab Thuras
No. Akaun : 01078010017368 (BANK ISLAM)






LAMPIRAN 1










1 comments:

aboye732003 said...

Assalammualaikum.....saya berminat utk mendaftarkan anak perempuan saya.Apakah syarat kemasukan ke pusat thfiz ini? dan bagaimanakah bayaran yuran kemasukan dan bulanan.Terima kasih

Post a Comment