Monday, March 22, 2010

CIRI-CIRI KEPIMPINAN DALAM GERAKAN ISLAM.

"Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Gerakan Islam", ini merupakan satu usaha memberikan pengertian kepada tajuk yang penting ini mudah-mudahan ia bermanfa'at kepada anggota harakah kita. Sebelum saya meneruskan huraian, ingin saya menerangkan beberapa perkara:





Yang Pertama: Bahawa agama Islam adalah agama jama'ah agama kumpulan, menegaskan hakikat inilah Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab berkata:
أخرج الدارمى عن الخليفة الراشد عمر الفاروق رضى الله عنه قوله
لا اسلام إلا بجماعة ، ولا جماعة إلا بإمارة ولا إمارة إلا بطاعة
Tidak tertegak Islam melainkan dengan usaha berjama'ah. Tidak berma'na jama'ah melainkan dengan pimpinan. Dan tidak berma'na kewujudan pimpinan kecuali diberi keta'atan oleh anggota kepadanya.
Yang Kedua: Bahawa seorang Muslim mesti memimpin, sekurang-kurangnya memimpin rumah tangganya.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam:
كلكم راعٍ وكلكم مسؤول عن رعيته
Semua kamu adalah gembala, dan semua kamu adalah bertanggungjawab terhadap rakyatnya. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Yang Ketiga: Bahawa orang-orang Islam mestilah berikat dengan kepimpinan walau dalam urusan y ang kecil sekalipun, seperti dalam musafir yang tak lebih daripada tiga orang.
عَنْ ‏أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏قَالَ‏إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُم
ْرواه أبو داود
apabila keluar musafir oleh tiga orang hendaklah mereka melantik salah seorang daripadanya menjadi ketua. Yang Keempat: Bahawa kepimpinan adalah amanah. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam berkata kepada Abu Dzar Radiyallahu 'anhu:
يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها
Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau seorang yang lemah sedangkan jabatan adalah satu amanah yang pada hari qiamat nanti merupakan satu kehinaan dan penyesalan. Kecuali bagi orang-orang yang dapat melaksanakan tugasnya dengan benar dan menunaikan kewajipan dengan sebaik-baiknya. (Riwayat Muslim)
Yang Kelima: Bahawa Islam telah meletakkan kaedah-kaedah yang tertentu, syarat-syarat tertentu supaya kepimpinan Islam dapat diisi dengan sebaik-baik yang boleh. 'Ulama'-'ulama' membuat penelitian yang rapi yang diletakkan ke atas yang dicalon menjadi pemimpin dan yang mencalonkan kepimpinan.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
...sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Surah Qasas: Ayat 26) Dengan izin dan taufik daripada Allah saya cuma menyusun suatu tawwasur kepada maudu' ini.
Sayugia diketahui bahawa kepimpinan adalah amanah yang amat besar, apatah lagi memimpin umat Islam ke arah Islam y ang hakiki. Sebarang kesilapan memilih, sebarang kecuaian akan membawa suatu bencana kepada umat seluruhnya. 'Ulama' dan faqaha' telah memberi panduan yang secukup-cukupnya kepada kita, di antaranya ialah bahawa tidak harus dipilih menjadi pemimpin (ya'ni; wilayah umat) melainkan daripada:

1. Lelaki.
2. Muslim baligh 'aqal.
3. Ilmu yang mencukupi (yang munasabah dengan jawatan)
4. Adil (بشروط العدالة الجامعة )
5.Yang bebas (bukan hamba).
Syarat-syarat ini diperketakan lagi dengan perkara yang lain dan diperkemaskan lagi tafsiran-tafsirannya kepada syarat-syarat di atas, menurut jawatan yang dikehendaki, seperti syarat 'ilmu di atas ditafsirkan sampai ke ijtihad dan memahami al-nasikh wal-mansukh, syarat 'adil diperkemaskan tafsirannya menurut jawatan yang dibicarakan, 'ulama juga menerangkan bahwa oleh kerana pemimpin bagi umat Muhammad adalah penyambung kepada kepimpinan Baginda Rasulullah Sallalllahu 'alaihi wassalam, maka syarat-syarat amana, fathanah, siddiq dan tabligh mestilah dipunyai oleh pemimpin yang akan memimpin umat Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam.
Di sana ada pula syarat-syarat yang lain yang mesti diambil perhatian iaitu الكفاءة atau keahlian baik dari segi kebolehan atau kepakaran pengalaman dan sebagainya, ditambah dengan syarat kesempurnaan anggota pancainderanya yang lima. Oleh kerana menjadi pemimpin, ertinya berkuasa, dan kekuasaan yang ada mestilah digunakan kepada kebajikan semata-mata dan orang yang dilantik mestilah baik dan selamat daripada sifat tamak haloba. Dan kepimpinan itu mesti menjauhi daripada segala lyang boleh meragukan. Maka Islam mengharamkan sebarang jawatan diberi kepada orang-orang yang meminta atau orang yang berlumba-lumba untuk mendapatnya, hal ini menjadi suatu pegangan yang penting yang mesti diambil berat oleh umat Islam. Cuba perhatikan hadith di bawah ini.
Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy'ari Radiyallahu 'anhu:
عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما: يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Aku masuk berjumpa Rasulullah bersama-sama dua lelaki daripada sepupu aku, berkata seorang daripadanya: "Wahai Rasulullah,lantiklah kami menjadi ketua kepada sebahagian dariapda jawatan-jawatan yang Allah telah berikan kepada Baginda." Dan berkata seorang lagi perkataan seumpama itu juga, lalu Baginda menjawab: "Demi Allah, kami tidak melantik pekerjaan ini sesiapa yang meminta atau sesiapa yang berusaha mendapatkannya." Sehubungan dengan ini ada satu hadith yang lain pula Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها

Bahawa sesiapa diberi jawatan tanpa permintaan, nescaya Tuhan akan memberikan kepadanya keberkatan dan sesiapa mendapat jawatan kerana permintaan Tuhan akan serahkan kepadanya.
Bahawa pemimpin hendaklah diberikan kepada orang yang kuat peribadinhya, sebaliknya tidak diharuskan sama sekali dipilih daripada kelangan yang lemah peribadinya, Abu Dzar Radiyallalhu 'anhu, pernah meriwayatkan bahawa:
قال قلت يا رسول الله ألا تستعملني ؟ قال فضرب بيده على منكبي ثم قال : يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها

Dari Abu Dzar Radiyallahu 'anu, katanya: Aku berkata: "Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak melantik saya memegang apa-apa jawatan?" Sabda Rasulullah menjawab: "Wahai Abu Dzar, kamu seorang yang lemah, sesungguhnya ia adalah amanah, dan sesungguhnya ia boleh membawa kepada kekacauan dan penyesalan di hari qiamat, melainkan orang yang mengambilnya dengan cara benar dan menunaikan kewajipan yang ditugaskan kepadanya."
Di dalam al-Quraan , Allah Subhanahu wa Ta'tla berfirman:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
...sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Surah Qasas: Ayat 26)
Bahawasanya sebaik-baik orang kamu mengupahnya ialah orang yang kuat dan amanah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (Surah Al-Ahzab: Ayat 72)
Tugas memimpin merupakan satu tugas yang penuh dengan tanggungjawab bukan sahaja di dunia, tetapi akan dipersoalkan oleh Allah satu persatu tentang amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas bahunya. Ia bukan urusan duniawi dan tamat di dunia sahaja ianya adalah bebanan yang menggerunkan, sebalik itu pula ia akan diberi balasan yang sebaik-baik kepada orang yang menunaikan tanggungjawabnya di dunia ini. Cuba kita renungi hadith-hadith berikut:
1. Ibny 'Umar Radiyallahu 'anhuma dengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam bersabda:
كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته، فالإمام راع ومسئول عن رعيته، والرجل راع في أهل بيته ومسئول عن رعتيه، والمرأة راعية في بيت زوجها ومسئولة عن رعيتها، والخادم راع في مال سيده ومسئول عن رعيته، وكلكم راع ومسئول عن رعيته.
Semua kamu laksana gembala, semua kamu ditanya tentang rakyatnya, ketua negara adalah gembala dan bertanggungjawab tentang rakyatnya, seorang lelaki adalah gembala kepada keluarganya dan bertanggung jawab terhadap rakyatnya, seorang isteri adalah gembala dalam urmah suaminya dan bertanggung jawab tentang rakyatnya, seorang khadam adalah gembala pada harta-benda tuannya dan bertanggung jawab tentang rakyatnya, kamu sekelian adalah gembala dan bertanggungjawab tentang rakyatnya.
Daripada hadith ini jelaslah kepada kita bahawa tidak ada seorangpun yang tidak dipertanggung jawabkan, seluruh manusia dibeban dengan tugas masing-masing, sesuatu dengan kedudukan masing-masing.
2. Daripada Ma'qal bin Siyar Radiyallahu 'anhu:
ما من عبد يسترعيه الله رعيه ويموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة
Tidak ada seorang hamba yang Allah menyerahkan kepadanya urusan rakyat kemudian dia mati dalam keadaan ia menipu rakyatnya, melainkan haramkan ke atasnya syurga.


3. Dalam hadith yang lain pula
ما من عبد يسترعيه الله رعية فلم يحطها بنصحه إلا لم يجد رائحة الجنة

Tidak ada seorang hamba Allah menyerahkan kepadanya urusan rakyat, maka ia tidak melindungi rakyatnya dengan nasihatnya kemudian dia mati dalam keadaan cuai, maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga.
Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan pemimpin melindungi rakyatnya melalui nasihatnya dan balasan Tuhan sekiranya ia cuai dalam menjalankan tugas.
4. Al-Imam Muslim meriwayatkan, bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam bersabda:
ما من أمير يلي أمر المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح إلا لم يدخل معهم الجنة

Tidak ada seorang ketua mengurus urusan orang Islam kemudian dia tidak bersungguh-sungguh dan tidak nasihat mereka melainkan dia tidak masuk syurga bersama-sama mereka.
Cara-Cara Memilih Pemimpin.
Orang yang mempunyai kuasa memilih pemimpin atau melantik mereka tidak kurang pula tanggungjawabnya dan tidak terlepas juga daripada persoalan, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam menggariskan beberapa panduan, diantaranya ialah: 1. Diriwayatkan oleh Ibnu 'Abas Radiyallahu 'anhuma, bahawa Rasulullah bersabda:
من استعمل رجلا على عصابه وفيهم من هو ارضى لله منه فقد خان الله ورسوله والمؤمنون


Sesiapa melantik seseorang lelaki ke atas suatu kumpulan, sedangkan ada di kalangan mereka orang lain yang lebih diredai Allah, maka dia sudah khianat Allah dan RasulNya dan orang-orang beriman.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam ini amat tegas, menerangkan bahawa mestilah dilantik atau dipilih orang yang paling diredai Allah, mengikut ukuran agama, bukan yang disukai oleh orang ramai dan sebagainya. Orang yang tidak menurut cara ini, maka ia adalah khianat kepada Allah dan RasulNya dan seluruh orang-orang mu'min.
2. Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam:
من قلد رجلا عملا على جماعة ، وهو يجد في تلك الجماعة من هو خير منه ، فقد خان الله و رسوله جماعة المسلمين
Sesiapa melantik seorang lelaki ke dalam suatu jawatan ke atas mana-mana jama'ah sedangkan ada dalam jama'ah itu orang yang lebih baik daripadanya maka ia sudah khianat kepada Allah, RasulNya dan jama'ah orang-orang Islam.
3. Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam:
إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة " ، قال : كيف إضاعتها يا رسول الله ؟ قال : " إذا أسند الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
Apabila dipersia-siakan amanah maka tunggulah berlakunya qiamat, ditanya bagaimana mempersiakan amanah? Nabi bersabda: "Apabila diserahkan urusan (kepimpinan) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tungguglah qiamat (ya'ni; kemusnahan)." Menyedari hakikat bahawa memimpin umat Muhammad Sallallahu 'alaihi wassallam di dunia ini merupakan satu tanggungjawab yang amat besar serta menggerunkan dan supaya umat Islam memilih kepimpinan yang mampu menjalanakn tugas pentadbiran harian dengan bnaik dan cemerlang, maka 'ulama telah meletakkan sifat-sifat yang tertentu yang sepatutnya ada pada pemimpin HArakah Islamiyyah, kerana pemimpin Islam adalah contoh atau qudwah dan uswah kepada anggota harakah dan orang-orang lain. Contoh pemimpin pula ialah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah adaa pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik begaimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah (Surah Al-Ahzab: Ayat 21)
Di bawah ini saya nukilkan beberapa sifat, ciri dan akhlaq yang sepatutnya ada pada pemimpin harakah di setiap peringat:
1. Ikhlas kepada Allah dan benar-benar mahu keredaan dalam semua gerak-gerinya kerana tanpa ikhlas, maka seseorang itu tidak mendapat apa-apa balasan daripada Allah di akhirat nanti, dan hendaklah bersih daripada sifat riya', ujub, mahukan kedudukan pangkat dan sanjungan.
2. Fikiran yang cergas, bijaksana, pengalaman dan pengetahuan yang luas, cepat memahami masalah, tidak pelupa, tidak terbuntu fikiran waktu marah dan gawat.
3. Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa dan pengasih.

4. Lemah-lembut. Terlalu banyak ayat-ayat dan hadith-hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalalam yang memuji sifat itu, di antaranya:
إن الله رفيق يحب الرفق , وإن الله يعطي على الرفق مالا يعطي على العنف ومالايعطى على ما سواه
Bahawasanya Allah itu lemah-lembut, sukakan kepada lemah-lembut, dan memberi melalui lemah-lembut apa yang dia tidak memberi melalui kekerasan, dan melalui apa jua selain daripadanya.
5. Berani dan bermaruah dan tidak penakut dan gopoh-gapah, sebaliknya tidak pengecut, sebaik-baik keberanian ialah yang berterus-terang pada hak dan menyembunyikan rahsia, mengakui kesalahan dan insaf pada diri sendiri.
6. Bercakap benar dalam semua keadaan. Supaya sifat ini terjaga, seorang pemimpin hendaklah hormat menerima dan menyampaikan berita yang diterima. Rasulullah Sallahu 'alaihi wassalam memberi ingata kepada kita dengan sabdanya:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Cukuplah seorang itu berbohong apabila ia bercerita dengan semua yang dia dengar.
7. Sifat tawadu' dan merendah diri terhdap orang-orang mu'min. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Dan rendahkanlah diri kamu kepada pengikut-pengikut kamu dan kepada orang-orang yang beriman. (Surah Al-Syu'ara':Ayat 215)

Firman Allah Ta'ala:
أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
...merendah diri kepada orang beriman dan memuliakan diri terhadap orang-orang kafir... (Surah Al-Ma'idah: Ayat 54)
8. Bersifat pemaaf, menyembunyikan kemarahan dan berbuat baik kepada pesalah.
وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

...dan orang-orang yang menyebmbunhyikan kemarahannya dan memaafkan kesalahn-kesalahan manusia, dan Allah sukakkan kepada orang yang bersifat ihsan yang memberi ma'af (Surah Ali-'Imran: Aytar 134)
9. Tunai janji. Sifat tunai janji sifat yang paling lazim, yang mesti dipunyai oleh seorang Muslim, apatah lagi pemimpin, ia satu ukuran kepada kejujurannya, yang membuahkan keceriaan orang ramai dan pengikut dan menimbulkan kerjasama dan puas hati, sebaliknya tidak menepati janji boleh menimbuilkan syak wasangka, dan kecuaian pengikut dan kehampaan mereka.
10. Sabar. Perjalanan jauh seperti perjalanan Harakah Islamiyyah mesti dipimpin oleh orang-orang yang sabar, orang yang tidak sabar tidak seharusnya menerima apa-apa jawatan dalam Harakah Islamiyyah.
Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan pertahanlah dengan kesabaran dan tetaplah dipengkalan dan pertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya . (Surah Ali-'Imran: Ayat 200)
Dan Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Wahai orang-orang beriman minta pertolongan melalui sabar dan sembahyang, bahawasanya Allah bersama orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah: Ayat 153)

11. Bersih diri daripada kepentingan peribadi dan murah hati.
12. Wara' dan zuhud.
13. Bersifat 'adil dan insaf.
14. Menjaga batas-batas agama.
15. Menjaga perpaduan jama'ah.
16. Tegas dan bertawakal keapda Allah.
17. Bersederhana dan berpatutan dalam urusan.
18. Tetap di atas kebenaran.
19. Menjauhkan diri daripada berbangga dengan kejayaan dan tidak memuji diri.
20. Berwaspada. Sifat berjaga-jaga dan berwaspada adalah menjadi salah satu ciri yang penting keapda pemimpinnya, sidat ini akan menyelamatkan seorang pemimpin dariapda dua bahaya yang selalu wujud, iaitu; perasaan kurang yakin (تشاؤم) dan terlalu yakin ( تفاؤل ). SesorangMuslim mesti beriman bahawa yang wajib di atas dirinya ialah berkerja. Adapun kejayaan atau kekekalan ia bukanlah tanggungjawabnya, setgala ursha diserahkan kepada Allah, Allah Subhanahu wa Ta'ala yang memenangkan kita dan mengekalkan kita menurut sebab musabab yang telah ditentukan olehNya. Mengenai sejarah dakawah Nabi dan para Rasul 'alaihimussalatus salam,mengingati kegigihan mereka, kecemerlangan pengorbanan dan ketulusan mereka boleh mendatangkan ketenangan jiwa dan kepuasan hati pada mujahidin di zaman ini.
Pada akhir, sifat dan akhlaq yang telah disebutkan tadi adalah akhlaq dan sifat yang terpenting sahaja untuk dimiliki oleh pemimpin-pemimpin mereka sesungguhnya dituntut supaya melengkapkan diri dengan itu semua, dan menjagai itu semuanya. Masih ada lagi sifat-sifat dan ciri-ciri yang lain yang termasuk di bawah Al-Akhlaq Al-Islamiyyah yang umum yang mesti menjadi pegangan setiap Muslim. Yang tidak dapat hendak disebutkan di siniل, di antaranya ialah sifat ihsan kepada faqir, menjaga silaturrahim,memuliakan anak yatim dan orang miskin, sifat pemalu, bercakap baik, bermanis muka dengan semua orang, menjauhkan diri daripada percakapan kasar, memaki hamun, tidak suka berseloroh, menonjol-nonjol diri, menengking, mengeraskan suara, menjauhkan diri daripada bidaah dan syubhah, menjaga semua perbuatan atau amalan sunnah sama ada waktu makan dan minum, waktu bermu'amalah dan lain-lainnnya.
Mudah-mudahan kertas kerja ini boleh menimbulkan kesedaran kepada pemimpin tentang sifat-sifat dan akhlaq yang patut wujud dalam diri setiap pemimpin di mana jua mereka berada.
Segala yang baik adalah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, segala yang tidak baik adlaah daripada kelemahan diri saya sendiri.

وَمَا أُرِيدُإِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُوَآَخِرُ دَعْوَانا أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

0 comments:

Post a Comment