Tuesday, March 23, 2010

PERANAN MUSLIM HARAKI DALAM MASYARAKAT

A. Muqaddimah.
Sesuai dengan program memasyarakatkan PAS yang sedang diperkenalkan hari ini, sukacita saya mengambil sedikit bahagian dengan menitik-beratkan peranan yang boleh dimainkan oleh Muslim dalam masyarakat, mudah-mudahan ianya menjadi satu sumbangan yang berguna.





Bahawa orang Islam mempunyai tanggungjawab terhadap agama Islam, yang mesti ditunaikan di dalam dunia ini, tidak ada seorangpun yang dapat melepaskan dirinya daripada melaksanakan tanggungjawab ini:
كُلْْكُمْ رَاعٍ وَكُلكُم َمسُئولٌ عَن رَعِيَتِه،

Semua kamu adalah gembala, dan semua kamu adalah bertanggungjawab terhadap rakyatnya (Hadith riwayat Al-Bukhari)

بَلِـّغُوا عَنِي وَلَوْ آيَةً
Hendaklah kami sampaikan ajaran aku walau satu ayat.
Muslim Haraki: Apa yang kita maksudkan dengan muslim haraki, ialah seorang muslim yang telah menyertai harakah Islamiyyah, yang telah mengiklankan dengan cara terbuka dan meluas bahawa perjuangannya adalah membina masyarakat Islam, mendirikan negara Islam, melaksanakan syari'at Islam, mengembalikan khilafah Islamiyyah di dunia ini, sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam.
Muslim haraki yang seperti ini, sewajarnya mempunyai tugas yang besar di dalam masyarakat hari ini, yang tidak mungkin dapat memainkan peranannya, jikalau ia sendiri tidak mempunyai bekalan yang secukupnya. Dari sini timbullah pula tanggungjawab terhadap anggota -anggota yang mana mereka itu merupakan amanah yang ditanggung oleh harakah, harakah mesti menyediakan bekalan kepada mereka.

B. Tanggungjawab Harakah Terhadap Ahli-Ahli.
Harakah sebagai sebuah organisasi Islam, mempunyai tanggungjawab yang berat terhadap ahli ahlinya. Harakah mesti mempunyai mekanisme yang tersusun yang mengatur kedudukan ahli-ahlinya, sesuai dengan kebolehan, watak, bakat masing-masing, supaya setiap orang dapat ditempatkan di tempat yang sesuai.
Dari sini harakah kita mesti mempunyai program "Bina' Al-Fard". Membina individu Muslim yang mencukupi seluruh anggota, mesti kita mempunyai skima yang melaluinya kita kenal setiap anggota kita, supaya kita boleh asah bakat yang ada padanya, memanfa'atkan daripada kebolehan yang sedia ada; memperbetulkan apa yang belok, memperkuatkan yang lemah, mengajar yang jahil kemudian menempatkan di bidang yang sesuai supaya ia berfungsi.

C. Apakah Bentuk Muslim Yang Diperlukan Oleh Masyarakat Hari Ini.
Masyarakat Malaysia walaupun berbilang kaum -berbilang agama dan kebudayaan tetapi ia masyarakat yang aman damai. Dalam suasana inilah kita boleh menjalankan da'wah kita, memperkenalkan perjuangan kita, dan menunjukkan identiti kita mempersembahkan akhlaq kita melalui da'wah bil-اal.
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam pernah bersabda:
كُوْنُوا كَالشَامَةِ بَيْنَ النَاسِ

Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia - punya daya sensitiviti yang baik.
Seorang Muslim haraki ialah Muslim yang dapat mengembangkan nilai-nilai perjuangan di tengah masyarakat dan dia adalah pembawa risalah Islamiyyah dalam kehidupan ini; para Nabi dan para rasul dijadikan (model) untuk dirinya. Mereka semuanya manusia-manusia yang hidup di tengah masyarakat, bergaul dengan mereka, bermu'amalah dengan mereka melalui gambaran Al-Qur'an dan sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, kita dapati ciri-ciri seperti berikut iaitu:
Sentiasa bercakap benar, kerana bercakap benar itu kemuncak kemuliaan, dan tunjang kepada segala akhlaq yang mulia. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam pernah memberitahu kita melalui sabdanya:
فَإِنَ الصَّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِ وَإِنَّ البَرَ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَاِنَّ الرَّجُلُ لَيَصْدُقُ حَتَى يَكْتُبَ عِنْدَ اللهِ صَدِيقًا، وَإِيَّاكُمْ وَالكَذِبَ فَإِنَّ الكَذِبَ يَهدِي إِلىَ الفُجُورِ، وَإِن َّالفُجُوْرَ يَهدِي إِلىَ النَّارِ، وَ اِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبَ حَتَى يَكْتُبَ عِندَ الله كَذَابًا متفق عليه.

Bercakap benar itu akan membawa kepada kebaikan dan bahawasanya kebaikan itu membawa kepada syurga, bahawa seorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang benar, dan bahawasanya pembohongan itu membawa kepada kecelakaan dan kecelakaan ini membawa ke dalam api neraka, seorang itu sentiasa berbohong sehingga ditulis di sisi Allah sebgai pembohong.
Dan seorang muslim itu bukanlah seorang penipu, khianat dan tidak curang, sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam:
مَنْ غَشَّنَا لَيـْـَس مِنَّا

Sesiapa yang menipu kami bukan dari golongan kami.
Seorang muslim tidak ada perasaan hasad dan dengki, Rasululah Sallallahu 'alaihi wasallam telah memberi amaran yang keras dengan sabdanya:
ِإيَّاكُمْ وَالحَسَدِ فَإِنَّ الحَسَدَ يَأْكُلُ الحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الحَطَبَ

Awas kamu daripada hasad, sesungguhnya hasad memakan 'amalan kebaikan seperti api memakan kayu yang kering. (Riwayat Abu Daud)
Adalah menjadi sifat seorang muslim mempunyai jiwa yang bersih, bersih daripada perasaan dengki dan menipu dan perasaan benci terhadap orang lain.... Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya tentang seorang perempuan yang bangun sembahyang malam dan berpuasa di siang hari, tetapi ia menganggu jirannya dengan lidahnya, seraya Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam bersabda:

هِىَ فِى النَّارِ
Dia di dalam neraka (Riwayat Al-Bukhari)
Seorang Muslim haraki di dalam masyarakat adalah sebagai seorang penasihat "nasih" yang sentiasa memberi pandangan yang membina. Dia adalah manusia yang positif bukan negatif kerana agama itu seluruhnya ditegakkan di atas semangat الدين النصيحة (agama itu adalah nasihat), diulangnya tiga kali berturut-turut! Lalu sahabat bertanya:
"Untuk siapakah, wahai Baginda?" Sabdanya:
ِللهِ وَلِكَتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَتِهِمْ
Untuk Allah, untuk Al-Qur'anNya, untuk rasulNya, untuk pemimpin dan untuk orang awam. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sayyidina Jarir bin 'Abdullah Radiyallahu 'anhu meriwayatkan, bahwa:

بَايَعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ عَلَى إِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الَّزكَاةِ، وَالنُّصْحِ لِكُلِ مُسْلِمٍ
Saya pernah membai'ah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di atas mendirikan sembahyang, membayar zakat dan memberi nasihat kepada setiap orang Islam. (Mutafaq'alaih)

Menyampaikan nasihat merupakan tugas yang amat berat, apat seorang itu menajwat jawatan kepimpinan, kecuaian dalam menyampaikan nasihat kepada rakyat menyebabkan seorang itu tidak masuk syurga. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda"
مَا مَنْ عَبْدٍ يَسْتَرعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً وَيمَُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٍ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةِ
Mana-mana hamba Allah yang Allah telah menyerahkan kepadanya pengurusan rakyatnya. Apabila dia mati dalam keadaan menipu rakyat, maka Allah mengharamkan masuk syurga. (Muttafaq 'alaih)
Di dalam riwayat yang lain. Maka ia tidak melindungi rakyatnya dengan nasihatnya, dia tidak akan mendapat bau syurga. Didalam riwayat Muslim:
مَا مِنْ َأمِيْرٍ يَلِي َأمْرِ المُسْلِمِيْنَ ثُمَّ لَا يَجْهَدُ لَهُم وَيَنْصَحُ ِإلَّا لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمُ الجَنَّةَ

Mana-mana pemimpin yang mengetuai urusan orang Islam, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya dan tidak menasihati mereka; melainkan tidak masuk syurga bersama-sama mereka.
Seorang Muslim haraki mesti menunaikan janjinya kepada masyarakat, termasuklah menghadiri mana-mana majlis menurut masa yang telah ditetapkan. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Hai orang yang beriman, penuhilah janji kamu... (Surah Al-Ma'idah: Ayat 1)
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
...dan penuhilah janji kamu sesungguhnya janji itu pasti minta dipertanggungjawab ke atas diri kamu (Surah Al-Isra': Ayat 34)
Islam menganggap orang yang berbohong, orang yang mungkir janji, orang yang tidak amanah, adalah orang yang munafiq, atau ada padanya ciri-ciri munafiq.
Muslim haraki adalah baik akhlaqnya, cukuplah kita mengingati sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam:
ِإنَمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
Bahawasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan segala akhlaq yang mulia.
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Orang yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik budi pekertinya.
'Ulama' telah menyenaraikan budi pekerti yang mulia di antaranya seperti berikut: Bersifat malu, lemah-lembut, pengasih, pengampun dan pema'af, bertoleransi, manis muka, ramah mesra, menguasai diri waktu marah, menyembunyi rahsia dan cacat-cela orang lian, tidak mengumpat, tidak buruk sangka, tidak sombong, suka membantu, sukakan ma'ruf dan benci kepada mungkar, mudah mesra, pada umumnya berpegang keapda akhlaq Islamiyyah, menjauhkan diri daripada akhlaq mazumumah, akhlaq yang terkeji, seperti; kasar, sombong, mementingkan diri sendiri dan sebgainya. Cubalah kita gambarkan setiap anggota harakah kita, di mana sahaja mereka berada rahmat kepada masyarakat, menjadi penuyelesai kepada masalah masyarakat, menjadi nur, menjadi khair (kebaikan), menjadi qudwah (ikutan), menjadi imam masyarakat akur merasai kehadiran ahli kita pembawa tuah dan berkat kepada mereka seperti yang dikehendaki oleh firman Allah Ta'ala:
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ / وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Dan tidakkah sama kebaikan dengan kejahatan, tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba di antaramu dengan dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia? Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar. (Surah Fussilat: Ayat 34-35) Apabila ahli-ahli kita boleh dijadikan contoh kepada masyarakat dan kehadiran mereka di tengah-tengah masyarkaat, membuat muafaqat, membawa berkat dan membawa 'ilmu pengetahuan. aya yakin harakah kita akan disenangi dan dirasakan sebagai keperluan seperti perluanhya manusia kepada udara bersih...., maka di sa'at itu tidak ada kuasa boleh menahan kemarahan kita dan wujudnya Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.

0 comments:

Post a Comment